Bahana “Kayu Kokka”


RAHSIA & KELEBIHAN KAYU KOKKA

Jenis kayu Bahtera Nabi Nuh AS – Tongkat Nabi Musa AS

Setiap ciptaan Allah SWT mempunyai pelbagai rahsia dan kelebihan yang tersirat. Sinaran matahari dan titisan hujan menyuburkan bumi yang tersimpan padanya pelbagai rahsia unik. Kemudian dari pelbagai ciptaanNya itu disertakan khasiat yang tersendiri. Tiada suatu pun makhluk yang Allah ciptakan di alam ini melainkan bersamanya turut tersimpan seribu satu rahsia. Allah SWT memerintahkan manusia mencari dan mengkaji bagi mengetahui hikmah dan khasiat yang terkandung di dalamnya. Dengan taufik dan hidayahNya, manusia mampu berfikir dan mendapat petunjuk dalam usaha menerokai khazanah Allah SWT lalu menemui pelbagai hasil galian dan tumbuhan semulajadi yang bermanfaat.

Sepertimana kita sedia maklum, Rodium, Paladium, Platinum, Emas dan Perak merupakan bahan logam yang paling berharga dalam industri barangan perhiasan. Menurut urutan, Rodium merupakan logam paling mahal dan sukar didapati. Bagi wanita misalnya, Emas adalah sangat tinggi nilainya. Antara logam bernilai tinggi dalam industri pembinaan pula adalah Titanium yang digunakan untuk membina pesawat dan seumpamanya kerana ia keras serta ringan. Terdapat pelbagai logam lain yang mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun dalam kebanyakan logam, magnet atau besi berani adalah logam yang paling aneh dan unik.

Di dalam kategori kayu pula, kajian saintifik mendapati Tongkat Ali mengandungi khasiat sebagai penawar bagi menguatkan tenaga dalam tubuh badan manusia. Terdapat juga pelbagai jenis akar dan kayu yang boleh dijadikan ramuan sebagai penawar dan penyembuh penyakit. Kayu Tas pula mempunyai kelebihan sebagai pelindung sepertimana yang digunakan oleh pengendali pertunjukkan sarkis bagi menakut dan menundukkan binatang buas. Manakala kayu Kokka pula merupakan kayu paling tinggi mutunya dalam segala jenis kayu yang terdapat di muka bumi ini. Ianya telah digunakan sejak zaman Nabi-nabi yang terdahulu. Contohnya seperti bahtera Nabi Nuh AS, tongkat Nabi Musa AS dan Nabi Syuaib AS diperbuat daripada kayu Kokka.

Kesemua ciptaan Allah SWT hanyalah merupakan perantaraan semata. Allah SWTmutlaq atas segalanya. YAKIN dan berserah hanya kepada Allah SWTPERCAYA dan terokailah akan ciptaanNya yang mempunyai pelbagai rahsia dan kelebihan. jualah yang berkuasa selayaknya.

Kayu Kokka terdapat padanya pelbagai rahsia dan kelebihan sebagai penawar, penyembuh dan pelindung. Apatah lagi jika diguna pakai dalam bentuk Tasbih. Kayu Kokka juga boleh menjadi lebih tinggi harga dan nilainya dari masa ke semasa. Kayu Kokka wajar dimiliki oleh setiap individu sepertimana perlunya kotak ‘First Aid’ sebagai persediaan di saat kecemasan atau darurat.


Diantara rahsia dan kelebihan kayu Kokka menurut pengalaman mereka yang telah memakainya:

  1. Rumah yang memilikinya; aman dari ancaman dan gangguan pelbagai jenis makhluk, insya Allah.
  2. Anak menangis tidak dapat tidur; letak di bawah bantal atau rendam sebahagiannya ke dalam air lalu diberi minum, insya Allah akan tidur.
  3. Sakit gigi; rendam sebahagiannya ke dalam air suam, kemudian berkumur dengannya dan minum, insya Allah sembuh.
  4. Sakit kepala, sakit urat atau otot; gosok-gosokkan ke bahagian yang sakit, insya Allah lega.
  5. Demam, sakit Kuning, kerongkong, tongsil, guam dan ruam; rendam air dan beri minum atau titiskan ke dalam mulut, insya Allah sembuh.
  6. Ibu dalam pantang; bawa bersama semasa tidur, rendam ke dalam air suam dan minum. Insya Allah aman dan sembuh segera.
  7. Termakan santau atau terkena racun; rendamkan ke dalam air dan beri minum, insya Allah sembuh.
  8. Sekiranya dipakai pada tubuh badan, insya Allah akan terhindar dari binatang liar atau berbisa.
  9. Letakkan pada bahagian yang terkena gigitan binatang berbisa, insya Allah akan hilang segala bisanya.
  10. Jika dibawa bersama ketika berjumpa orang zalim, insya Allah akan tenang dan aman.
  11. Sekiranya memakai ketika orang hendak menyusahkan kita, insya Allah mereka tidak akan terdaya.
  12. Menurut sejarah yang berlaku di negara jiran, pembebas-pembebas di 4 wilayah telah membawanya bersama semasa berperang, lalu mengakibatkan pandangan musuh menjadi kabur dan pemakainya beroleh kemenangan, alhamdulillah.
  13. Jika dalam keadaan yang amat terdesak, logam panas yang pantas kilat lagi bahaya insya Allah tidak akan memudaratkan pemakainya yang beriman dan beramal soleh.

Kepada sesiapa yang ada memilikinya, membawanya sahaja walau sebiji,
jaga amalan dan mohon kepada Allah SWT agar Dilindungi dari bahaya penyakit berjangkit, insya Allah.


Akan bertambah lagi khasiatnya jika digunakan sebagai tasbih untuk berzikir.

Sesungguhnya Allah SWT jualah yang Maha Berkuasa atas segalanya.
Menurut segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya serta sentiasa mengingati Allah SWT
dan mohon kepadaNya adalah penting dalam memperoleh keselamatan serta kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Yang baik itu datangnya dari Allah SWT dan yang buruk itu adalah dari kelemahan kita sendiri.
Semoga dapat dimanfaatkan demi Agama, Diri, Keluarga dan Negara,
INSYA ALLAH.


sumber: http://www.darulnuman.com

Awasi unsur syirik jika guna kayu koka
( Ulasan saya di bawah sekali )


 Oleh Dato’ Dr Haron Din

Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka.

Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin.

Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?

Abu Bakar Zakaria,
Damansara, Selangor

Inilah Tasbih Kokka yang berharga RM 400 !!!Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan.

Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka.

Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.

Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras.

Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.

Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk ‘madi’ seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam.

Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam bersabdanya (mafhumnya); “Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT.” (Hadis sahih)

Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan.

Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan.

Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen yang pembeli atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.

Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah.

Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja.

Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.

Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan yang termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.

Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat.

Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti ‘assina’ dan ‘assinut’. Dalam al-Quran disebut ‘at-tiin’, ‘az-zaytun’, ‘ar-rummaan’, ‘an-nahiil’ dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.

Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.

Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain.

Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.

Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.

Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.

Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, “Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian.”

Umar menjawab; “Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya.” Lalu Nabi berkata kepadanya, “Perlahankan sedikit.”

KOMEN SAYA :

Kayu Kokka & Masalah Aqidah

Ramai bertanya kepada saya berkenaan keajaiban kayu kokka. Sebenarnya saya telah lama menyatakan berkenaan kayu kokka ini sejak dari Jordan, saya juga sempat bertemu dengan penjual utama kayu kokka semasa berada Jordan. Selepas perbincangan, penjual ini mengakui bahawa tiada sebarang hujjah yang boleh dipakai untuk mendakwa kesohihan dakwaan sejarah kayu ini.

Saya juga telah berusaha mencari apa jua hadith dari beratus buah kitab-kitab hadith berkenaan kayu ini, malangnya tiada satu pun hadith berkenaannya.

Saya juga sempat bertanya kepada Al-Marhum Syeikh Atiyyah Saqar ketika menziarahi beliau di rumahnya di Mesir pada tahun 2004. Beliau menyatakan sesiapa yang mempercayai kayu ini adalah orang-orang yang jahil. Itulah yang disebut oleh Syeikh Atiyyah.

Selain itu, saya juga sempat berbincang dengan Syeikh Prof. Dr Abd Malik As-Sa’di (Ulama Iraq yang menjadi pensyarah di Univ Mu’tah Jordan), beliau mengatakan pemakai cincin kokka, rantai, tasbih dan lain-lain dengan kepercayaan akan kehebatan ghaib kayu yang boleh mendatangkan kesan baik atau menolak keburukan, ia termasuk dalam kategori tangkal yang membawa hukum syirik.

Dari sudut hukum jual beli

Ringkasnya, penjual kayu ini juga kerap mewarwarkan ‘kuasa ghaib’ kayu ini, menurut hukum Shariah sebegini adalah haram tanpa syak lagi kerana telah berfunsgi seperti bomoh yang meramalkan hal ehwal ghaib.

Penjual kayu ini juga samada secara sedar atau tidak telah melakukan penipuan apabila menyebut kayu kokka sebagai kayu yang sama dengan Bahtera Nabi Nuh a.s ( padahal tiada saiapa yang pernah menjumpai bahtera ini, sebarang dakwaan kosong tidaklah boleh dipakai) demi untuk meyakinkan pembeli akan kehebatannya, sedangkan tiada satu hadith yang menyebutnya dan kajian saintifik juga tiada yang boleh dipakai dalam hal ini. Apabila perkara tidak sabit kebenarannya ini dijaja bagi menjual kayu ini, ia akan tergolong dalam kategori pembohongan dalam jualan. Nabi SAW bersabda :-

Ertinya : Sesungguhnya peniaga-peniaga adalah mereka yang jahat-jahat, sahabat bertanya : Wahai Rasulullah SAW, bukankah Allah telah menghalalkan jual beli, Nabi menjawab : Bahkan, tetapi peniaga (yang fujjar atau jahat ) ini mereka kerap bersumpah (tentang kehebatan barangan yang dijual) dan mereka berdosa kerananya, mereka juga bila bercakap ( ketika promosi ) mereka akan sentiasa berbohong.  (Riwayat Al-Hakim, sohih isnadnya menurut syarat Al-Bukhari & Muslim  ; Al-Baihaqi)

Demikian juga halnya dengan majoriti penjual kayu ini di ketika mereka berkempen, ada yang akan mendakwa kononnya ia adalah kayu yang sama dengan tongkat Nabi Musa a.s serta boleh menghadang Jin dan Syaitan. Semuanya tidak berasas di dalam Islam. Bagi saya, kayu ini sebenarnya lebih banyak membawa keseronokan kepada Jin dan Syaitan kerana lebih mudah merosakkan aiqdah umat Islam dengan kewujudannya.

Selain itu, sebahagian pihak penjual menaikkan harga kayu ini hanya kerana kehebatan ghaib kayu ini. Jika harganya berdasarkan kualiti dan kecantikannya sebenar sahaja, tentu ia dibenarkan oleh Shariah. Bagaimanapun jika ia dinaikkan kerana kuasa ghaib dan khasiat yang tidak boleh dibuktikan oleh kajian sains, ia tidak dibenarkan oleh Shariah kerana gharar.

Kayu atau orang yang bermasalah?

Ada yang bertanya serta memberikan pandangan kepada saya bahawa yang salah adalah kepercayaan itu dan bukannya kayu itu pada fizikalnya. Benar, saya bersetuju dari satu sudut bahawa kayu itu sendiri sudah hukumnya adalah neutral, demikian juga hukum bagi kubur. Bagaimanapun yang menjadi masalah adalah pemuja kubur, sudah tentu kubur dan jenazah yang dikuburkan itu tidak salah, tetapi yang salah adalah pemuja. Demikian juga halnya kayu kokka. Dalam Islam, jika sesuatu yang neutral itu menjadi sebab utama kepada syirik, ia turut akan diharamkan sebagai sadd az-zara’i (menutup ruang kemungkinan berlaku syirik).

Justeru, hukum memakai dan membeli kayu ini dengan tujuan hiasan semata-mata, tanpa sebarang kepercayaan ghaib tentang kehebatannya adalah harus. Bagaimanapun, amat wajar dijauhi juga, kerana apabila sudah diwarwarkan tentang keajaibannya, walaupun seseorang memakainya hanya untuk kecantikan dan hiasan, berita keajaiban itu akan bermain di sempadan syirik dan Syaitan dengan mudah boleh melintaskan perasaan keajaiban itu ketika seseorang memakainya.

Islam menolak semua jenis tindakan yang bermain di sempadan syirik seperti menyimpan patung di dalam rumah, membina kubur dan dalam kawasan masjid dan banyak lagi (Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradawi)

Kempen

ANTARA DAKWAAN PENJUAL KOKKA adalah :-

  • Sekiranya anak-anak demam, hendaklah diberi minum dengan air suam. Insya-Allah suhu badan menurun.
  • Dapat menghalau jin dan syaitan serta terelak daripada dirasuk dengan menggosok atau disapu pada dahi.
  • Jika disapu pada orang yang dirasuk akan meraung kepanasan dia. (Sapu sedikit sudah cukup).
  • Orang tidak akan mengkhianati atau menyusahkan kita, jika kita memakai minyak ini. Insya-Allah.
  • Jika minyak ini sentiasa melekat di badan kita, Insya-Allah orang akan menyayangi kita.

Sumber : http://www.freewebs.com/adeqanuar/kayukokka.htm

Bayangkan begitu karut dakwaan penjual kayu kokka ini, sehingga minyak kayu kokka dianggap boleh menjadi minyak pengasih. Sedangkan hukum minyak pengasih adalah syirik dalam islam sebagai disebut oleh nabi SAW ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradhawi ).

Tangkal atau Tamimah yang digantung pada badan atau pada binatang atau dalam rumah terkadang dibuat dari tulang, taring binatang buas, tulisan tertentu dan lain-lain. Terkadang tamimah dibuat dari ayat Al-Quran. Para ulama’ berbeza pendapat tentang tamimah dari Al-Quran. Pandangan yang lebih kuat juga melarang berbuat demikian sebab Nabi Muhammad s.a.w. melarang tamimah secara umum termasuk dari ayat Al-Quran.

Abdullah Bin Mas’ud berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :

Ertinya : Sesungguhnya jampi yang mengandungi syirik, tangkal dan pengasih adalah syirik.( Riwayat Ahmad dan Abu Daud – Menurut Syeikh Albani : Hasan )

Daripada ‘Uqbah Bin ‘Aamir (marfu’) :

Ertinya : Barangsiapa yang menggantung tangkal maka sesungguhnya syirik-lah dia.

Antara bentuk tangkal cara baru umat Islam di Malaysia ketika ini adalah seperti meletakkan pisau atau gunting di bawah tilam bayi kononnya agar tidak diganggu, memakai cincin dan rantai atau tasbih kayu kokka dengan kepercayaan bahawa ia dapat mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan, meminum air za’faran tertentu dengan yakin ia membawa kebaikan. Semua ini adalah bentuk tangkal dan boleh membawa kepada syirik.

Moga Alah menyelamatkan kita dari syirik dan khurafat

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman


sumber : www.zaharuddin.net/

KUALA LUMPUR: Sepuluh tahun, RM8.1 juta. Secara purata, itulah nilai wang penduduk negara ini yang ‘lebur’ gara-gara memiliki kayu kokka — kayu yang selayaknya diubah nama kepada ‘kayu kokak’ (tidak berguna) kerana satu kajian terperinci mendapati kayu kokka sebenarnya tidak wujud dan sengaja diperkenalkan semata-mata untuk tujuan perniagaan.

Anggaran jumlah berkenaan diperoleh hasil maklumat daripada sumber yang rapat serta pernah menjalin urus niaga dengan beberapa ‘tauke besar’ atau pembekal utama kayu itu.

Begitupun, jumlah itu dipercayai lebih besar kerana ia tidak termasuk jumlah jualan diperoleh peniaga kayu kokka di seluruh negara. Ia juga tidak termasuk jumlah pembelian terus di luar negara, terutama di Makkah.

Peniaga kayu kokka yang mahu dikenali sebagai Abdul Jasman Ahmad, 38, berkata berdasarkan pengalamannya, kayu kokka mula dibawa masuk ke negara ini menerusi seorang warga Turki pada 1998.

Katanya, rakannya terpengaruh dengan keistimewaan yang diuar-uarkan mengenai kayu itu sehingga sanggup mengeluarkan puluhan ribu ringgit untuk membelinya.

“Ketika itu nilainya sangat mahal. Sebagai contoh, satu tasbih yang mempunyai 33 biji kayu boleh dijual dengan harga sehingga RM1,800, manakala tasbih 100 biji kayu kokka boleh dijual sehingga RM2,500. Jualan memang menggalakkan.

“Rakan saya memperoleh untung sehingga 300 peratus kerana mengambilnya dengan harga lebih murah,” katanya.

Abdul Jasman berkata, pada 2003, sambutan terhadap kayu kokka sangat luar biasa sehingga muncul seorang lagi pembekal dari Sudan menawarkan kayu kokka dalam kuantiti lebih besar.

Katanya, buah, tasbih, cincin, gelang, minyak dan tongkat daripada kayu kokka laris jualannya.

“Rakan saya tidak mampu mengambil stok dalam jumlah banyak kerana harga ditawarkan terlalu tinggi. Ketika itu juga pelajar Malaysia yang menuntut di Timur Tengah turut membawa pulang kayu berkenaan untuk dijual, menyebabkan saya terpaksa mengehadkan penjualan.

“Begitupun, dia tetap membekalkan kayu itu kepada peniaga di seluruh Malaysia dan memperoleh untung besar. Jika diikutkan, jualan kayu itu sehingga hari ini mencecah RM1 juta,” katanya yang mengakui kemunculan sebuah buku terbitan sebuah syarikat mengenai keistimewaan dan khasiat kayu kokka melariskan lagi kayu itu.

Dalam pada itu, satu lagi pembekal yang lebih besar modalnya dianggarkan membuat jualan mencecah jutaan ringgit sehingga hari ini.

Seorang sumber yang mahu dikenali sebagai Asfar Kasim, 40, berkata pembekal itu kini bergelar usahawan dan bertambah mewah apabila menjadi pembekal kayu kokka di seluruh Malaysia.

“Dia (pembekal itu) memperoleh bekalan daripada pembekal warga Turki dan Sudan. Dia membeli dalam jumlah besar. Saya diberitahu, untuk tasbih saja, dari 1998 hingga hari ini sudah 100 ribu berjaya dijualnya.

“Secara purata, setiap tasbih dijual dengan harga RM200 dan apabila dijumlahkan, jualan produk itu mencecah RM2 juta,” katanya.

Menurut Asfar, itu belum lagi termasuk buah, cincin dan gelang yang turut mendapat sambutan hangat daripada pembeli.

Katanya, buah kayu kokka memang banyak dijual kerana sekurang-kurangnya 250,000 berjaya dijual dengan harga kira-kira RM100 sebiji sehingga jumlah jualan mencecah RM2.5 juta dalam tempoh sama.

“Untuk gelang pula, dalam tempoh sama, sekurang-kurangnya 100,000 berjaya dijual. Harga ditawarkan sekitar RM100 dan ia menyaksikan jualan sehingga RM1 juta.

“Cincin juga mencatat jualan mencecah 200,000 untuk tempoh 10 tahun. Setiap cincin dijual dengan harga sekurang-kurangnya RM80, sekali gus menyaksikan jualan mencecah RM1.6 juta,” katanya.

Asfar berkata, pembekal terbabit mencatat jumlah jualan mencecah RM7.1 juta dan ia belum ditambah dengan produk sampingan lain seperti minyak dan tongkat.

Kepalsuan kayu kokka dibongkar seorang Ahli Etnologi, Dr Abdul Manan Embong, yang melakukan kajian terperinci untuk tempoh setahun bersama beberapa pakar tempatan dan antarabangsa.

Mereka ialah Pakar Geomologi dan Mineral Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Hisham Hashim; Pakar Botani dari Mesir, Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah; Profesor Ali Akbar Zurillah dari Bahagian Kajian Penyelidikan Geologi Turki dan penceramah bebas serta penulis, Ahmad Shukri Ghazali Siraj.

Kajian menyeluruh di negara yang dikatakan mempunyai pokok kayu kokka seperti Mesir, Jordan, Turki dan Iran mendapati tidak pernah wujud nama kokka dan apa yang didakwa sebagai kayu kokka sebenarnya diperoleh daripada spesies pokok Palma.

Abdul Manan berkata, penyelidikan dilakukan secara berperingkat-peringkat, iaitu mengesan asal usul kayu kokka dan mengesan pokok yang dikatakan menghasilkan kayu kokka.

“Kami tidak dapat mengesan spesies tumbuhan yang menggunakan nama kokka di dunia. Jika ada sekalipun, nama panggilan di Jepun, ‘kokua’ iaitu sejenis pokok berbatang kecil dan menjalar yang digunakan untuk sejenis upacara keagamaan dipanggil Shinto.

“Ada juga sejenis tumbuhan palma yang sebutannya hampir dengan ‘kokka’, iaitu sebutan bagi orang Turki, ‘kuka’ daripada asal perkataan ‘Coco De Mer’ atau ‘Melanococa’ digunakan untuk menghasilkan minyak,” katanya.

Menurut Abdul Manan, kayu kokka dikesan dihasilkan daripada spesies pokok palma ‘Attalea Funifera’.

Katanya, buah dan tempurung daripada pokok itu sememangnya digunakan untuk membuat tasbih, gelang, cincin dan barang permainan semata-mata untuk perniagaan.

“Penyelidikan kami mendapati pokok berkenaan tumbuh di Brazil, Colombia dan Argentina. Di Brazil, pokok berkenaan dikomersialkan, malah mempunyai ladang seluas antara 20 hingga 2,000 hektar.

“Segala hasil pokok itu, seperti buah, tempurung, batang, pelepah dan kulit pokok dijadikan pelbagai barangan seperti minyak dan dieksport ke negara seperti Turki, Mesir, Iran, Syria, Libya, Amerika Syarikat, Afrika, India dan Malaysia,” katanya.

Abdul Manan berkata, kayu kokka yang dibawa masuk ke negara ini dan kemudian dihasilkan dalam bentuk tasbih, gelang, cincin, minyak dan tongkat adalah seumpama biji kelapa sawit atau biji Tamar yang dijadikan perhiasan.

“Tiada bukti dapat mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka itu ada keistimewaan dan khasiat tertentu.

“Bagi mengaitkannya sebagai bahan digunakan bahtera Nabi Nuh as seperti diuar-uarkan sememangnya jauh tersimpang kerana pokok berkenaan tidak sesuai dibuat kapal kerana tidak mampu bertahan di atas air,” katanya.

Abdul Manan berkata, pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan tongkat baginda ialah kayu daripada pokok ‘Pine Cypress’ yang diperoleh di pergunungan Ararat, Turki.

Menurutnya, penemuan itu berdasarkan kajian dibuat terhadap satu fosil bongkah kayu lama berusia kira-kira 3,500 tahun milik seorang Arab Kurdis yang mendakwa dirinya keturunan ke-1750 Nabi Nuh.

“Kandungan kimia dalam bongkah kayu berkenaan ialah Alpha Cellulose, Hemi Cellulose dan Holo Cellulose iaitu asid asal Alpinene.

“Kandungan itu bersesuaian dengan hasil kajian dilakukan Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah pada 10 Oktober 2007 di Mesir yang menemui hasil sama dengan spesies ‘Pine Cypress’.

“Daripada 19 jenis pokok Pine dikaji, spesies ‘Pine Cypress’ mengandungi kandungan kimia paling tepat sama dengan kandungan kimia serpihan lama bongkah kayu itu yang dikatakan serpihan bahtera Nabi Nuh.

“Malah, hasil kajian itu juga sama dengan hasil kajian diperoleh kumpulan pengkaji Inggeris dari 1884 hingga 1954,” katanya.

Menurut Abdul Manan, kajian dilakukan Ronald Eldon Wyat pada 1954 menyatakan pokok ‘Pine Cypress’ tumbuh di pergunungan Chaldea hingga pergunungan tengah Armenia di sempadan Rusia hingga ke pergunungan Ararat, tempat bahtera Nabi Nuh dikatakan tersadai mengukuhkan lagi dakwaan itu.

“Hasil penyelidikan Ronald memperkukuhkan bukti pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera agung baginda ialah ‘Pine Cypress’, bukan kokka,” katanya yang akan menerbitkan buku khusus untuk memperjelaskan kekeliruan masyarakat terhadap kayu kokka.

Abdul Manan berkata, fosil yang ditemui juga diuji Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan ia disahkan spesies Pine Cypress yang masih aktif kandungan kimianya.

Katanya, dengan pendedahan itu, diharap masyarakat tidak tertipu dan terpedaya dengan keistimewaan dan kelebihan yang diuar-uarkan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Info

> Kajian mendapati nama kokka tidak pernah wujud

> Apa yang didakwa kayu kokka sebenarnya spesies pokok Palma

> Tiada bukti mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka ada keistimewaan tertentu

> Mengaitkan kokka sebagai bahan membuat bahtera Nabi Nuh as sangat diragui kerana pokok berkenaan tidak mampu bertahan di atas air

> Pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan tongkat baginda ialah kayu daripada pokok ‘Pine Cypress’

Sumber: http://www.hmetro.com.my

One Response to Bahana “Kayu Kokka”

  1. alkhudri says:

    feh..panjang skali~

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: