PERHATIAN..

June 16, 2009

Assalamu’alaikum wr wb..

Ikhwah, akhawat, muslimin, muslimat yang dirahmati Allah SWT sekalian. Setelah menjalankan syura antara pimpinan dan bekas pimpinan KARISMA UiTM Segamat, kami telah mencapai kata sepakat untuk menjadikan blog Islamic Society of United Teenagers (IN-SOFT) sebagai blog rasmi Karisma UiTM Segamat. Maka dengan itu, blog ini tidak akan digunakan lagi. Segala maklumat dan aktiviti terkini kami akan dimaklumkan di blog IN-SOFT. Mohon maaf atas segala kesulitan..


:: iLaLLiQa’ wa Ma’asSaLamaH ::


Bahana “Kayu Kokka”

April 9, 2008


RAHSIA & KELEBIHAN KAYU KOKKA

Jenis kayu Bahtera Nabi Nuh AS – Tongkat Nabi Musa AS

Setiap ciptaan Allah SWT mempunyai pelbagai rahsia dan kelebihan yang tersirat. Sinaran matahari dan titisan hujan menyuburkan bumi yang tersimpan padanya pelbagai rahsia unik. Kemudian dari pelbagai ciptaanNya itu disertakan khasiat yang tersendiri. Tiada suatu pun makhluk yang Allah ciptakan di alam ini melainkan bersamanya turut tersimpan seribu satu rahsia. Allah SWT memerintahkan manusia mencari dan mengkaji bagi mengetahui hikmah dan khasiat yang terkandung di dalamnya. Dengan taufik dan hidayahNya, manusia mampu berfikir dan mendapat petunjuk dalam usaha menerokai khazanah Allah SWT lalu menemui pelbagai hasil galian dan tumbuhan semulajadi yang bermanfaat.

Sepertimana kita sedia maklum, Rodium, Paladium, Platinum, Emas dan Perak merupakan bahan logam yang paling berharga dalam industri barangan perhiasan. Menurut urutan, Rodium merupakan logam paling mahal dan sukar didapati. Bagi wanita misalnya, Emas adalah sangat tinggi nilainya. Antara logam bernilai tinggi dalam industri pembinaan pula adalah Titanium yang digunakan untuk membina pesawat dan seumpamanya kerana ia keras serta ringan. Terdapat pelbagai logam lain yang mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun dalam kebanyakan logam, magnet atau besi berani adalah logam yang paling aneh dan unik.

Di dalam kategori kayu pula, kajian saintifik mendapati Tongkat Ali mengandungi khasiat sebagai penawar bagi menguatkan tenaga dalam tubuh badan manusia. Terdapat juga pelbagai jenis akar dan kayu yang boleh dijadikan ramuan sebagai penawar dan penyembuh penyakit. Kayu Tas pula mempunyai kelebihan sebagai pelindung sepertimana yang digunakan oleh pengendali pertunjukkan sarkis bagi menakut dan menundukkan binatang buas. Manakala kayu Kokka pula merupakan kayu paling tinggi mutunya dalam segala jenis kayu yang terdapat di muka bumi ini. Ianya telah digunakan sejak zaman Nabi-nabi yang terdahulu. Contohnya seperti bahtera Nabi Nuh AS, tongkat Nabi Musa AS dan Nabi Syuaib AS diperbuat daripada kayu Kokka.

Kesemua ciptaan Allah SWT hanyalah merupakan perantaraan semata. Allah SWTmutlaq atas segalanya. YAKIN dan berserah hanya kepada Allah SWTPERCAYA dan terokailah akan ciptaanNya yang mempunyai pelbagai rahsia dan kelebihan. jualah yang berkuasa selayaknya.

Kayu Kokka terdapat padanya pelbagai rahsia dan kelebihan sebagai penawar, penyembuh dan pelindung. Apatah lagi jika diguna pakai dalam bentuk Tasbih. Kayu Kokka juga boleh menjadi lebih tinggi harga dan nilainya dari masa ke semasa. Kayu Kokka wajar dimiliki oleh setiap individu sepertimana perlunya kotak ‘First Aid’ sebagai persediaan di saat kecemasan atau darurat.


Diantara rahsia dan kelebihan kayu Kokka menurut pengalaman mereka yang telah memakainya:

  1. Rumah yang memilikinya; aman dari ancaman dan gangguan pelbagai jenis makhluk, insya Allah.
  2. Anak menangis tidak dapat tidur; letak di bawah bantal atau rendam sebahagiannya ke dalam air lalu diberi minum, insya Allah akan tidur.
  3. Sakit gigi; rendam sebahagiannya ke dalam air suam, kemudian berkumur dengannya dan minum, insya Allah sembuh.
  4. Sakit kepala, sakit urat atau otot; gosok-gosokkan ke bahagian yang sakit, insya Allah lega.
  5. Demam, sakit Kuning, kerongkong, tongsil, guam dan ruam; rendam air dan beri minum atau titiskan ke dalam mulut, insya Allah sembuh.
  6. Ibu dalam pantang; bawa bersama semasa tidur, rendam ke dalam air suam dan minum. Insya Allah aman dan sembuh segera.
  7. Termakan santau atau terkena racun; rendamkan ke dalam air dan beri minum, insya Allah sembuh.
  8. Sekiranya dipakai pada tubuh badan, insya Allah akan terhindar dari binatang liar atau berbisa.
  9. Letakkan pada bahagian yang terkena gigitan binatang berbisa, insya Allah akan hilang segala bisanya.
  10. Jika dibawa bersama ketika berjumpa orang zalim, insya Allah akan tenang dan aman.
  11. Sekiranya memakai ketika orang hendak menyusahkan kita, insya Allah mereka tidak akan terdaya.
  12. Menurut sejarah yang berlaku di negara jiran, pembebas-pembebas di 4 wilayah telah membawanya bersama semasa berperang, lalu mengakibatkan pandangan musuh menjadi kabur dan pemakainya beroleh kemenangan, alhamdulillah.
  13. Jika dalam keadaan yang amat terdesak, logam panas yang pantas kilat lagi bahaya insya Allah tidak akan memudaratkan pemakainya yang beriman dan beramal soleh.

Kepada sesiapa yang ada memilikinya, membawanya sahaja walau sebiji,
jaga amalan dan mohon kepada Allah SWT agar Dilindungi dari bahaya penyakit berjangkit, insya Allah.


Akan bertambah lagi khasiatnya jika digunakan sebagai tasbih untuk berzikir.

Sesungguhnya Allah SWT jualah yang Maha Berkuasa atas segalanya.
Menurut segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya serta sentiasa mengingati Allah SWT
dan mohon kepadaNya adalah penting dalam memperoleh keselamatan serta kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Yang baik itu datangnya dari Allah SWT dan yang buruk itu adalah dari kelemahan kita sendiri.
Semoga dapat dimanfaatkan demi Agama, Diri, Keluarga dan Negara,
INSYA ALLAH.


sumber: http://www.darulnuman.com

Awasi unsur syirik jika guna kayu koka
( Ulasan saya di bawah sekali )


 Oleh Dato’ Dr Haron Din

Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka.

Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin.

Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?

Abu Bakar Zakaria,
Damansara, Selangor

Inilah Tasbih Kokka yang berharga RM 400 !!!Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan.

Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka.

Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.

Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras.

Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.

Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk ‘madi’ seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam.

Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam bersabdanya (mafhumnya); “Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT.” (Hadis sahih)

Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan.

Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan.

Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen yang pembeli atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.

Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah.

Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja.

Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.

Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan yang termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.

Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat.

Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti ‘assina’ dan ‘assinut’. Dalam al-Quran disebut ‘at-tiin’, ‘az-zaytun’, ‘ar-rummaan’, ‘an-nahiil’ dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.

Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.

Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain.

Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.

Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.

Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.

Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, “Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian.”

Umar menjawab; “Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya.” Lalu Nabi berkata kepadanya, “Perlahankan sedikit.”

KOMEN SAYA :

Kayu Kokka & Masalah Aqidah

Ramai bertanya kepada saya berkenaan keajaiban kayu kokka. Sebenarnya saya telah lama menyatakan berkenaan kayu kokka ini sejak dari Jordan, saya juga sempat bertemu dengan penjual utama kayu kokka semasa berada Jordan. Selepas perbincangan, penjual ini mengakui bahawa tiada sebarang hujjah yang boleh dipakai untuk mendakwa kesohihan dakwaan sejarah kayu ini.

Saya juga telah berusaha mencari apa jua hadith dari beratus buah kitab-kitab hadith berkenaan kayu ini, malangnya tiada satu pun hadith berkenaannya.

Saya juga sempat bertanya kepada Al-Marhum Syeikh Atiyyah Saqar ketika menziarahi beliau di rumahnya di Mesir pada tahun 2004. Beliau menyatakan sesiapa yang mempercayai kayu ini adalah orang-orang yang jahil. Itulah yang disebut oleh Syeikh Atiyyah.

Selain itu, saya juga sempat berbincang dengan Syeikh Prof. Dr Abd Malik As-Sa’di (Ulama Iraq yang menjadi pensyarah di Univ Mu’tah Jordan), beliau mengatakan pemakai cincin kokka, rantai, tasbih dan lain-lain dengan kepercayaan akan kehebatan ghaib kayu yang boleh mendatangkan kesan baik atau menolak keburukan, ia termasuk dalam kategori tangkal yang membawa hukum syirik.

Dari sudut hukum jual beli

Ringkasnya, penjual kayu ini juga kerap mewarwarkan ‘kuasa ghaib’ kayu ini, menurut hukum Shariah sebegini adalah haram tanpa syak lagi kerana telah berfunsgi seperti bomoh yang meramalkan hal ehwal ghaib.

Penjual kayu ini juga samada secara sedar atau tidak telah melakukan penipuan apabila menyebut kayu kokka sebagai kayu yang sama dengan Bahtera Nabi Nuh a.s ( padahal tiada saiapa yang pernah menjumpai bahtera ini, sebarang dakwaan kosong tidaklah boleh dipakai) demi untuk meyakinkan pembeli akan kehebatannya, sedangkan tiada satu hadith yang menyebutnya dan kajian saintifik juga tiada yang boleh dipakai dalam hal ini. Apabila perkara tidak sabit kebenarannya ini dijaja bagi menjual kayu ini, ia akan tergolong dalam kategori pembohongan dalam jualan. Nabi SAW bersabda :-

Ertinya : Sesungguhnya peniaga-peniaga adalah mereka yang jahat-jahat, sahabat bertanya : Wahai Rasulullah SAW, bukankah Allah telah menghalalkan jual beli, Nabi menjawab : Bahkan, tetapi peniaga (yang fujjar atau jahat ) ini mereka kerap bersumpah (tentang kehebatan barangan yang dijual) dan mereka berdosa kerananya, mereka juga bila bercakap ( ketika promosi ) mereka akan sentiasa berbohong.  (Riwayat Al-Hakim, sohih isnadnya menurut syarat Al-Bukhari & Muslim  ; Al-Baihaqi)

Demikian juga halnya dengan majoriti penjual kayu ini di ketika mereka berkempen, ada yang akan mendakwa kononnya ia adalah kayu yang sama dengan tongkat Nabi Musa a.s serta boleh menghadang Jin dan Syaitan. Semuanya tidak berasas di dalam Islam. Bagi saya, kayu ini sebenarnya lebih banyak membawa keseronokan kepada Jin dan Syaitan kerana lebih mudah merosakkan aiqdah umat Islam dengan kewujudannya.

Selain itu, sebahagian pihak penjual menaikkan harga kayu ini hanya kerana kehebatan ghaib kayu ini. Jika harganya berdasarkan kualiti dan kecantikannya sebenar sahaja, tentu ia dibenarkan oleh Shariah. Bagaimanapun jika ia dinaikkan kerana kuasa ghaib dan khasiat yang tidak boleh dibuktikan oleh kajian sains, ia tidak dibenarkan oleh Shariah kerana gharar.

Kayu atau orang yang bermasalah?

Ada yang bertanya serta memberikan pandangan kepada saya bahawa yang salah adalah kepercayaan itu dan bukannya kayu itu pada fizikalnya. Benar, saya bersetuju dari satu sudut bahawa kayu itu sendiri sudah hukumnya adalah neutral, demikian juga hukum bagi kubur. Bagaimanapun yang menjadi masalah adalah pemuja kubur, sudah tentu kubur dan jenazah yang dikuburkan itu tidak salah, tetapi yang salah adalah pemuja. Demikian juga halnya kayu kokka. Dalam Islam, jika sesuatu yang neutral itu menjadi sebab utama kepada syirik, ia turut akan diharamkan sebagai sadd az-zara’i (menutup ruang kemungkinan berlaku syirik).

Justeru, hukum memakai dan membeli kayu ini dengan tujuan hiasan semata-mata, tanpa sebarang kepercayaan ghaib tentang kehebatannya adalah harus. Bagaimanapun, amat wajar dijauhi juga, kerana apabila sudah diwarwarkan tentang keajaibannya, walaupun seseorang memakainya hanya untuk kecantikan dan hiasan, berita keajaiban itu akan bermain di sempadan syirik dan Syaitan dengan mudah boleh melintaskan perasaan keajaiban itu ketika seseorang memakainya.

Islam menolak semua jenis tindakan yang bermain di sempadan syirik seperti menyimpan patung di dalam rumah, membina kubur dan dalam kawasan masjid dan banyak lagi (Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradawi)

Kempen

ANTARA DAKWAAN PENJUAL KOKKA adalah :-

  • Sekiranya anak-anak demam, hendaklah diberi minum dengan air suam. Insya-Allah suhu badan menurun.
  • Dapat menghalau jin dan syaitan serta terelak daripada dirasuk dengan menggosok atau disapu pada dahi.
  • Jika disapu pada orang yang dirasuk akan meraung kepanasan dia. (Sapu sedikit sudah cukup).
  • Orang tidak akan mengkhianati atau menyusahkan kita, jika kita memakai minyak ini. Insya-Allah.
  • Jika minyak ini sentiasa melekat di badan kita, Insya-Allah orang akan menyayangi kita.

Sumber : http://www.freewebs.com/adeqanuar/kayukokka.htm

Bayangkan begitu karut dakwaan penjual kayu kokka ini, sehingga minyak kayu kokka dianggap boleh menjadi minyak pengasih. Sedangkan hukum minyak pengasih adalah syirik dalam islam sebagai disebut oleh nabi SAW ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradhawi ).

Tangkal atau Tamimah yang digantung pada badan atau pada binatang atau dalam rumah terkadang dibuat dari tulang, taring binatang buas, tulisan tertentu dan lain-lain. Terkadang tamimah dibuat dari ayat Al-Quran. Para ulama’ berbeza pendapat tentang tamimah dari Al-Quran. Pandangan yang lebih kuat juga melarang berbuat demikian sebab Nabi Muhammad s.a.w. melarang tamimah secara umum termasuk dari ayat Al-Quran.

Abdullah Bin Mas’ud berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :

Ertinya : Sesungguhnya jampi yang mengandungi syirik, tangkal dan pengasih adalah syirik.( Riwayat Ahmad dan Abu Daud – Menurut Syeikh Albani : Hasan )

Daripada ‘Uqbah Bin ‘Aamir (marfu’) :

Ertinya : Barangsiapa yang menggantung tangkal maka sesungguhnya syirik-lah dia.

Antara bentuk tangkal cara baru umat Islam di Malaysia ketika ini adalah seperti meletakkan pisau atau gunting di bawah tilam bayi kononnya agar tidak diganggu, memakai cincin dan rantai atau tasbih kayu kokka dengan kepercayaan bahawa ia dapat mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan, meminum air za’faran tertentu dengan yakin ia membawa kebaikan. Semua ini adalah bentuk tangkal dan boleh membawa kepada syirik.

Moga Alah menyelamatkan kita dari syirik dan khurafat

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman


sumber : www.zaharuddin.net/

KUALA LUMPUR: Sepuluh tahun, RM8.1 juta. Secara purata, itulah nilai wang penduduk negara ini yang ‘lebur’ gara-gara memiliki kayu kokka — kayu yang selayaknya diubah nama kepada ‘kayu kokak’ (tidak berguna) kerana satu kajian terperinci mendapati kayu kokka sebenarnya tidak wujud dan sengaja diperkenalkan semata-mata untuk tujuan perniagaan.

Anggaran jumlah berkenaan diperoleh hasil maklumat daripada sumber yang rapat serta pernah menjalin urus niaga dengan beberapa ‘tauke besar’ atau pembekal utama kayu itu.

Begitupun, jumlah itu dipercayai lebih besar kerana ia tidak termasuk jumlah jualan diperoleh peniaga kayu kokka di seluruh negara. Ia juga tidak termasuk jumlah pembelian terus di luar negara, terutama di Makkah.

Peniaga kayu kokka yang mahu dikenali sebagai Abdul Jasman Ahmad, 38, berkata berdasarkan pengalamannya, kayu kokka mula dibawa masuk ke negara ini menerusi seorang warga Turki pada 1998.

Katanya, rakannya terpengaruh dengan keistimewaan yang diuar-uarkan mengenai kayu itu sehingga sanggup mengeluarkan puluhan ribu ringgit untuk membelinya.

“Ketika itu nilainya sangat mahal. Sebagai contoh, satu tasbih yang mempunyai 33 biji kayu boleh dijual dengan harga sehingga RM1,800, manakala tasbih 100 biji kayu kokka boleh dijual sehingga RM2,500. Jualan memang menggalakkan.

“Rakan saya memperoleh untung sehingga 300 peratus kerana mengambilnya dengan harga lebih murah,” katanya.

Abdul Jasman berkata, pada 2003, sambutan terhadap kayu kokka sangat luar biasa sehingga muncul seorang lagi pembekal dari Sudan menawarkan kayu kokka dalam kuantiti lebih besar.

Katanya, buah, tasbih, cincin, gelang, minyak dan tongkat daripada kayu kokka laris jualannya.

“Rakan saya tidak mampu mengambil stok dalam jumlah banyak kerana harga ditawarkan terlalu tinggi. Ketika itu juga pelajar Malaysia yang menuntut di Timur Tengah turut membawa pulang kayu berkenaan untuk dijual, menyebabkan saya terpaksa mengehadkan penjualan.

“Begitupun, dia tetap membekalkan kayu itu kepada peniaga di seluruh Malaysia dan memperoleh untung besar. Jika diikutkan, jualan kayu itu sehingga hari ini mencecah RM1 juta,” katanya yang mengakui kemunculan sebuah buku terbitan sebuah syarikat mengenai keistimewaan dan khasiat kayu kokka melariskan lagi kayu itu.

Dalam pada itu, satu lagi pembekal yang lebih besar modalnya dianggarkan membuat jualan mencecah jutaan ringgit sehingga hari ini.

Seorang sumber yang mahu dikenali sebagai Asfar Kasim, 40, berkata pembekal itu kini bergelar usahawan dan bertambah mewah apabila menjadi pembekal kayu kokka di seluruh Malaysia.

“Dia (pembekal itu) memperoleh bekalan daripada pembekal warga Turki dan Sudan. Dia membeli dalam jumlah besar. Saya diberitahu, untuk tasbih saja, dari 1998 hingga hari ini sudah 100 ribu berjaya dijualnya.

“Secara purata, setiap tasbih dijual dengan harga RM200 dan apabila dijumlahkan, jualan produk itu mencecah RM2 juta,” katanya.

Menurut Asfar, itu belum lagi termasuk buah, cincin dan gelang yang turut mendapat sambutan hangat daripada pembeli.

Katanya, buah kayu kokka memang banyak dijual kerana sekurang-kurangnya 250,000 berjaya dijual dengan harga kira-kira RM100 sebiji sehingga jumlah jualan mencecah RM2.5 juta dalam tempoh sama.

“Untuk gelang pula, dalam tempoh sama, sekurang-kurangnya 100,000 berjaya dijual. Harga ditawarkan sekitar RM100 dan ia menyaksikan jualan sehingga RM1 juta.

“Cincin juga mencatat jualan mencecah 200,000 untuk tempoh 10 tahun. Setiap cincin dijual dengan harga sekurang-kurangnya RM80, sekali gus menyaksikan jualan mencecah RM1.6 juta,” katanya.

Asfar berkata, pembekal terbabit mencatat jumlah jualan mencecah RM7.1 juta dan ia belum ditambah dengan produk sampingan lain seperti minyak dan tongkat.

Kepalsuan kayu kokka dibongkar seorang Ahli Etnologi, Dr Abdul Manan Embong, yang melakukan kajian terperinci untuk tempoh setahun bersama beberapa pakar tempatan dan antarabangsa.

Mereka ialah Pakar Geomologi dan Mineral Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Hisham Hashim; Pakar Botani dari Mesir, Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah; Profesor Ali Akbar Zurillah dari Bahagian Kajian Penyelidikan Geologi Turki dan penceramah bebas serta penulis, Ahmad Shukri Ghazali Siraj.

Kajian menyeluruh di negara yang dikatakan mempunyai pokok kayu kokka seperti Mesir, Jordan, Turki dan Iran mendapati tidak pernah wujud nama kokka dan apa yang didakwa sebagai kayu kokka sebenarnya diperoleh daripada spesies pokok Palma.

Abdul Manan berkata, penyelidikan dilakukan secara berperingkat-peringkat, iaitu mengesan asal usul kayu kokka dan mengesan pokok yang dikatakan menghasilkan kayu kokka.

“Kami tidak dapat mengesan spesies tumbuhan yang menggunakan nama kokka di dunia. Jika ada sekalipun, nama panggilan di Jepun, ‘kokua’ iaitu sejenis pokok berbatang kecil dan menjalar yang digunakan untuk sejenis upacara keagamaan dipanggil Shinto.

“Ada juga sejenis tumbuhan palma yang sebutannya hampir dengan ‘kokka’, iaitu sebutan bagi orang Turki, ‘kuka’ daripada asal perkataan ‘Coco De Mer’ atau ‘Melanococa’ digunakan untuk menghasilkan minyak,” katanya.

Menurut Abdul Manan, kayu kokka dikesan dihasilkan daripada spesies pokok palma ‘Attalea Funifera’.

Katanya, buah dan tempurung daripada pokok itu sememangnya digunakan untuk membuat tasbih, gelang, cincin dan barang permainan semata-mata untuk perniagaan.

“Penyelidikan kami mendapati pokok berkenaan tumbuh di Brazil, Colombia dan Argentina. Di Brazil, pokok berkenaan dikomersialkan, malah mempunyai ladang seluas antara 20 hingga 2,000 hektar.

“Segala hasil pokok itu, seperti buah, tempurung, batang, pelepah dan kulit pokok dijadikan pelbagai barangan seperti minyak dan dieksport ke negara seperti Turki, Mesir, Iran, Syria, Libya, Amerika Syarikat, Afrika, India dan Malaysia,” katanya.

Abdul Manan berkata, kayu kokka yang dibawa masuk ke negara ini dan kemudian dihasilkan dalam bentuk tasbih, gelang, cincin, minyak dan tongkat adalah seumpama biji kelapa sawit atau biji Tamar yang dijadikan perhiasan.

“Tiada bukti dapat mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka itu ada keistimewaan dan khasiat tertentu.

“Bagi mengaitkannya sebagai bahan digunakan bahtera Nabi Nuh as seperti diuar-uarkan sememangnya jauh tersimpang kerana pokok berkenaan tidak sesuai dibuat kapal kerana tidak mampu bertahan di atas air,” katanya.

Abdul Manan berkata, pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan tongkat baginda ialah kayu daripada pokok ‘Pine Cypress’ yang diperoleh di pergunungan Ararat, Turki.

Menurutnya, penemuan itu berdasarkan kajian dibuat terhadap satu fosil bongkah kayu lama berusia kira-kira 3,500 tahun milik seorang Arab Kurdis yang mendakwa dirinya keturunan ke-1750 Nabi Nuh.

“Kandungan kimia dalam bongkah kayu berkenaan ialah Alpha Cellulose, Hemi Cellulose dan Holo Cellulose iaitu asid asal Alpinene.

“Kandungan itu bersesuaian dengan hasil kajian dilakukan Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah pada 10 Oktober 2007 di Mesir yang menemui hasil sama dengan spesies ‘Pine Cypress’.

“Daripada 19 jenis pokok Pine dikaji, spesies ‘Pine Cypress’ mengandungi kandungan kimia paling tepat sama dengan kandungan kimia serpihan lama bongkah kayu itu yang dikatakan serpihan bahtera Nabi Nuh.

“Malah, hasil kajian itu juga sama dengan hasil kajian diperoleh kumpulan pengkaji Inggeris dari 1884 hingga 1954,” katanya.

Menurut Abdul Manan, kajian dilakukan Ronald Eldon Wyat pada 1954 menyatakan pokok ‘Pine Cypress’ tumbuh di pergunungan Chaldea hingga pergunungan tengah Armenia di sempadan Rusia hingga ke pergunungan Ararat, tempat bahtera Nabi Nuh dikatakan tersadai mengukuhkan lagi dakwaan itu.

“Hasil penyelidikan Ronald memperkukuhkan bukti pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera agung baginda ialah ‘Pine Cypress’, bukan kokka,” katanya yang akan menerbitkan buku khusus untuk memperjelaskan kekeliruan masyarakat terhadap kayu kokka.

Abdul Manan berkata, fosil yang ditemui juga diuji Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan ia disahkan spesies Pine Cypress yang masih aktif kandungan kimianya.

Katanya, dengan pendedahan itu, diharap masyarakat tidak tertipu dan terpedaya dengan keistimewaan dan kelebihan yang diuar-uarkan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Info

> Kajian mendapati nama kokka tidak pernah wujud

> Apa yang didakwa kayu kokka sebenarnya spesies pokok Palma

> Tiada bukti mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka ada keistimewaan tertentu

> Mengaitkan kokka sebagai bahan membuat bahtera Nabi Nuh as sangat diragui kerana pokok berkenaan tidak mampu bertahan di atas air

> Pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan tongkat baginda ialah kayu daripada pokok ‘Pine Cypress’

Sumber: http://www.hmetro.com.my


Universiti adalah “rumah penyembelihan”

March 29, 2008

“Dear students! You have spent many years of your life at this institution to acquire education. You have eagerly been waiting for the day when you will reap the harvest of your labour in the form of a degree. I am aware of your emotions on this occasion, and that is why it pains me to express my thoughts so bluntly.

Frankly speaking, I consider this Alma Mater, in fact all Alma Maters of this kind, slaughter houses rather than educational institutions. The degrees to be awarded are in fact death certificates, issued when the murderer is satisfied that he has accomplished his task; fortunate are those who escape from this organised butchery with still some spark of life.

I have not come here to congratulate you on receiving these death certificates. I am, rather, overwhelmed with grief to see you in such a miserable plight. I am like someone seeking a person who might still be alive among a mass of corpses.”


Ucapan di atas adalah titipan bicara Sayyid Abul ‘Ala Maududi (1903-1979) kepada kaum mahasiswa yang melihat universiti sebagai ‘rumah penyembelihan’ yang mencetak segulung ‘sijil kematian’. Berikut adalah terjemahannya dalam bahasa Melayu:-

“Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus-terang kepada kamu pada saat ini.

Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini.”

Tamat petikan ucapan Abul ‘Ala al-Maududi.

Sama ada kita mahu bersetuju atau tidak, hal itu terpulang kepada pandangan masing-masing. Tetapi, jika diteliti dengan rinci terasa ada kebenaran dalam ucapan tersebut. Sebenarnya, apa peranan tertinggi kaum pelajar? Apa hubungan pelajar dengan masyarakat dan rakyatnya? Apa tujuan universiti ditubuhkan dan apa kaitan kena-mengenanya kaum kapitalis dengan universiti?

Mari kita tinggalkan dahulu soalan ini kepada sesiapa yang suka menjawabnya �

Universiti bagaikan ‘rumah penyembelihan’?

Kembali kepada ucapan al-Maududi. Meneliti ucapannya, kita melihat sepertinya beliau sudah tidak lagi mempercayai universiti. Mungkin universiti itu di luar negeri atau di Pakistan. Beliau tidak mengupas dengan lebih rinci. Oleh itu, mari kita anggap semua universiti sama saja sifatnya; ‘rumah penyembelihan’. Dan pelajar itulah yang akan disembelih. Penyembelih, mungkin TNC HEP atau Kementerian Pengajian Tinggi.

Tapi jangan lupa. Al-Maududi mungkin telah hilang kepercayaan ke atas universiti sebagai ‘rumah penyembelihan’. Tetapi beliau masih menaruh harapan tinggi ke atas mahasiswa-mahasiswa yang diucapkannya sebagai:-

“Alangkah bertuahnya kepada mereka (mahasiswa) yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.”

Lalu, al-Maududi menyifatkan dirinya sebagai:-

Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini.”

Secara ringkasnya kita boleh membuat kesimpulan awal bahawa al-Maududi mungkin hilang rasa percaya ke atas sistem pendidikan universiti, tetapi masih menaruh harapan tinggi ke atas para mahasiswa universiti. Sebab itulah beliau menafsirkan dirinya sebagai seorang pencari ‘manusia (mahasiswa) yang masih hidup dalam timbunan mayat’ di rumah penyembelihan yang bernama universiti.

Tapi, tidak diketahui apakah punca al-Maududi berkata demikian. Mungkin, beliau telah dihalau daripada memberi ceramah di universiti seperti UKM membatalkan ceramah mengenai Palestin kerana panel jemputannya dikatakan tidak serasi dengan pihak atasan UKM pada tahun lalu.

Atau, beliau mungkin kecewa ke atas sejenis sistem berhutang yang dikenakan terhadap pelajar yang belajar di universiti yang mana kadar faedahnya (riba) membebankan pelajar sehinggakan hal itu diibaratkan beliau sebagai tindakan menyembelih pelajar laksana PTPTN menyembelih mangsanya?

Ini semua adalah teka-teki yang belum dapat dirungkai dan menjadi sebuah misteri yang belum terungkap dengan jelas kebenarannya. Khaled Nordin belum tentu dapat jelaskan hal ini kerana beliau masih baru menjawat jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Ini kerana, pelajar yang sedar dan yang enggan disembelih telah pun muak, loya serta melugai dengan kenyataan terbaru Kementerian Pengajian Tinggi berhubung cadangan pindaan Auku. Ini sudah pasti akan melibatkan pindaan mengikut suka hatinya, pelajar dan pensyarah yang rela hidung mereka dicucuk hari ini untuk disembelih pada keesokan harinya.

Mahasiswa dan pensyarah yang tidak rela hidung mereka dicucuk untuk disembelih sudah pun menghidu bahawa pindaan Auku 1971 ini tidak bertujuan memansuhkan artikel 15 (1), (2), (3) dan lainnya yang memberi kebebasan kepada warga kampus berpolitik dan menjalankan kegiatan akademik yang ada kaitannya dengan politik negara.

Jadi, mana mungkin Khaled akan terfikir kedudukan universiti sebagai ‘rumah penyembelihan’ sebagai yang dilontarkan al-Maududi pada awal-awal perbincangan tadi.

Kepada golongan pakcik makcik kita yang pernah mengikuti silibus atau kurikulum usrah-usrah sejak 1970-an dahulu tentunya terdedah dengan kupasan al-Maududi dan Hasan al-Banna di dalam usrah mereka. Dalam erti kata lain, pemikiran al-Maududi dan al-Banna adalah seangkatan zaman.

Suatu masa dahulu saya pernah menulis sedikit di ruangan ini tentang betapa tingginya harapan al-Banna terhadap golongan mahasiswa sehingga beliau membuat suatu muktamar rapat umum khas untuk menyampaikan wasiat kepada golongan pelajar. Maka, demikian dengan al-Maududi. Harapannya menggunung. Cuma, penyampaiannya sedikit berbeza bercampur nada kecewa.

Hubungan pelajar dan rakyat amat erat

Makcik Hamsiah, 53, seorang suri rumah dari Kelang melihat golongan tua yang baru pulang dari Mekah kerana menunaikan fardhu haji boleh dianggap sebagai graduan dari ‘universiti’ Allah.

“Sepatutnya, datuk nenek yang sudah mendapat ‘ijazah’ kerana menunaikan haji di Mekah ini akan kembali ke pangkuan keluarga dan menasihatkan cucu-cicit dan anak-anak mereka supaya jangan terpengaruh dengan kehidupan dunia yang bersifat sementara.

“Tapi, realiti yang terjadi kini sudah berbeza. Mereka kembali dan cuma menjamu para tetamu dengan kurma dan air zam zam. Mereka seolah-olah terlupakan urusan dakwah kepada keluarga masing-masing,” kata makcik itu kepada saya dulu.

Saban tahun, kita mendengar dan melihat paparan kisah pelajar sekolah rendah dan menengah yang mendapat keputusan terbaik dalam UPSR, SPM dan STPM. Di universiti, kita akan melihat hal yang sama berlaku. Tapi, dengan ilmu mereka, apakah masyarakat berubah menjadi baik?

Inilah madrasah tarbiyyah peninggalan Rasulullah s.a.w yang diwarisi al-Banna dan al-Maududi. Misalkan Gua Hira’ adalah ‘universiti’ terpencil tempat baginda berkhalwat dan bersuluk hingga didatangi mahaguru Jibril a.s yang menyampaikan wahyu pertama.

Sesudah itu baginda turun daripada gua untuk menyebarkan dakwah dan risalah kebenaran. Dan kaedah inilah yang cuba diterapkan oleh al-Banna di mana usrah menjadi tempat berhimpunnya para sahabat untuk mengkaji al-Qur’an untuk disebar kepada keluarga dan masyarakat sekitar.

Usrah itu medan akliah, lapangan akademik yang bertenaga memancarkan sinar pencerahan ke atas masyarakat sekitar. Sememangnya, begitulah cara sinar-sinar kebenaran itu terhimpun dan terkumpul di suatu tempat, lalu limpahan sinar itu tercurah ke lembah gelap yang lain pula.

Sudah berapa banyak sekolah didirikan? Sudah berapa banyak ‘universiti dhirar’ dibina? Tapi, ada berapa banyak kes jenayah diselesaikan? Musa Hassan datang berceramah tentang jenayah di USM pun cuma untuk menyindir Kelantan banyak jenayah, apa kes? Patutlah jenayah makin teruk menjadi-jadi. Dua SB dihantar untuk merakam (menyembelih?) ucapan NC USM, apa kes?

Tepatlah, universiti sekarang sudah berubah menjadi ‘rumah penyembelihan’. Sekolah-sekolah, universiti-universiti tidak lagi berperanan sebagai Gua Hira’ tempat Nabi Muhammad bertemu mahagurunya; Jibril a.s dan tidak seperti Buddha menerima pencerahan di bawah pokok Bodhi.

Tidak ramai pelajar bertindak sebagai nabi-nabi

Sudah tidak ramai lagi kaum terpelajar yang bersikap bagai nabi-nabi, rasul-rasul dan wali-wali yang menyendiri, bersuluk, berkhalwat di sebuah tempat yang sunyi. Dan, akhirnya setelah dia mencapai pencerahan atau menerima wahyu daripada ‘universiti’, mereka keluar menyebarkan risalah agama. Selepas berijazah, mereka mencari kerja dan bernikah. Itu saja.

Alangkah mulia dan keramatnya seorang kanak-kanak tadika, Pasti dan Taski yang belajar doa makan dan minum daripada ustazahnya. Dan, apabila makan minum bersama keluarga, anak itu akan menegur ayah dan ibunya: “Kenapa abi dan umi tidak baca doa dulu sebelum makan?”

Jikalau al-Maududi masih hidup, tentu beliau berkata lebih kurang begini: “Yang belum menjadi ‘rumah penyembelihan’, hanya tadika, Pasti dan Taski dan kindergarten sahaja.”

Dalam tradisi pendidikan Islam warisan Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali, antara peranan ilmu ialah mendidik jiwa agar lunak dan patuh kepada Allah. Tetapi, menurut al-Ghazali, dalam proses didikan itu, apabila sampai waktunya, guru perlu meninggalkan sang murid kerana hati murid itu sudah tidak dapat lagi dirawat.

Dalam suasana masyarakat hari ini, mahasiswa, rakyat atau golongan bawahan kita masih lagi boleh dirawat kerana dalam hati mereka sentiasa ada sikap merendah diri dan ingin bertaubat apabila dirundung masalah. Kita hanya berdepan dengan masalah orang atasan. Buktinya, walaupun kalah dalam pilihan raya, mereka masih belum berubah dan angkuh mempertahankan kuasa sehingga sanggup menderhaka kepada sultan. Mereka ini tidak boleh dirawat lagi.

Bak kata Fansuri, “Melentur buluh biar daripada rebungnya. Nanti apabila jadi buluh, dia boleh berkata kepada musuhnya, sekarang bertemulah buku dengan ruas. Atau, bolehlah dibuat rakit untuk berkelana dan mengembara mencari pengetahuan. Tapi, kalau buluh itu tidak kuat juga, barulah ‘disembelih’ untuk diisikan pulut dibuat lemang pada akhirnya.”

 

 

Dipetik dari http://www.harakahdaily.net


Usrah bukan sekadar Usrah…..

March 29, 2008

Tunggak kepada gerakan Islam adalah usrah. Tanpa usrah maka gerakan akan menjadi jumud dan tidak dapat melahirkan pekerja dan tenaga pelapis. Tanpa usrah yang betul matlamat yang perlu ada pada mana-mana gerakan tidak akan tercapai. Segala keputusan akan dapat dilaksanakan dengan baik apabila konsep usrah dipraktikkan dalam gerak kerja jamaah.Usrah juga bukan majlis ilmu semata-mata bahkan ia merupakan satu majlis yang meningkatkan komitmen kepada Islam dan memperjuangkan Islam di muka bumi ini. Usrah juga merupakan majlis untuk membincangkan masalah organisasi dalam jamaah.

Definisi

Usrah bermakna keluarga. Rapatnya hubungan antara anggota usrah menyebabkan kadang-kadang hubungan sesama anggota usrah adalah lebih akrab daripada hubungan saudara sekeluarga. Manakal istilah yang disebut oleh ulama, gerakan ialah kumpulan individu Islam yang beriman kepada Allah, berusaha untuk tolong-menolong sesama mereka untuk memahami ajaran Islam. Mereka ini melakukan kerja-kerja Islam sebagai menyahut seruan Allah swt:

arabic

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (103:3)

Oleh kerana usrah adalah ikatan ukhuwwah kerana Iman antara manusia, maka rukun-rukun usrah juga di terapkan agar ikatan ini bagaikan satu bangunan yang tersusun kukuh.

arabic
Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh. (61:4)

Rukun dalam ibadah merupakan sesuatu yang penting yang akan menyebabkan sah atau tidaknya ibadah itu. Seperti contoh jika kita melakukan sujud di dalam solat, jika tidak dilakukan sujud dengan betul, maka solat tidak sah. Betapa berat dan pentingnya rukun solat itu dijaga. Begitu jua dengan usrah. Jika ketiga-tiga rukun usrah ini pincang, maka usrah itu tidak akan mampu melahirkan suatu generasi yang dapat dibentuk fikrah Islamnya. Rukun-rukun usrah merupakan:

1. Taaruf

Taaruf iaitu berkenalan sesama anggota dengan bertukar-tukar maklumat peribadi seperti nama, pekerjaan, umur, latar belakang pendidikan, latar belakang keluarga, tempat tinggal, pengalaman yang dilalui selama ini dan sebagainya, sehingga setiap orang merasakan bahawa setiap anggota adalah sebahagian daripada dirinya. Asas kepada gerakan dakwah ialah kasih sayang dan ia bermula daripada pengenalan yang mendalam antara dua saudara.

Dalam peringkat ini, taaruf selalunya dapat dilakukan dengan baik. Sesi perkenalan bukan sahaja dapat dilakukan di dalam bentuk formal malah tika melakukan fardiah jua peringkat ini telah bermula.

2. Tafahum

Tafahum bermaksud bersefahaman sesama anggota keitka beramal dan bertindak. Persefahaman ini penting kerana ikatan tidak akan dapat dibentuk sekiranya tidak ada persefahaman yang mantap di kalangan anggota. Peringkat kedua ini, memerlukan satu tempoh masa yang agak panjang untuk nuqaba memahami anak usrah mereka. Jika nuqaba mampu mengusai peringkat ini, tarbiah dan pembentukan generasi itu mudah dilakukan. Peringkat inilah yang perlu dititikberatkan kerana jika nuqaba tidak memahami corak dan gaya anak usrah mereka, mungkin berlaku keciciran dan fikrah yang hendak dibentuk tidak jelas.

Saya teringkat kisah Rasulullah saw di mana baginda amat benar-benar menguasai peringkat tafahum ini. Ini kerana pada ketika wahyu pengharaman khamar telah diturunkan, seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah saw bahawa dia adalah seorang “penagih tegar” (kuat minum). Rasulullah memahami perwatakan sahabat ini lantas menasihatinya supaya berjanji untuk tidak berbohong. Jika difikirkan logik akal, adakah ini suatu nasihat yang baik? Apakah kena mengena sifat menipu dan berbohong dengan ketagihan alkohol? Namun kesudahannya setiap kali sahabat ini terasa ingin minum khamar, lantas dia teringat janjinya pada Rasulullah. Dan akhirnya sahabat ini mampu menghilangkan ketagihannya.

Jadi sejauh manakah kita memahami anak usrah kita? Dan bagaimanakah kaedah yang sesuai untuk individu tersebut untuk berubah. Kerana Syadah itu sendiri jika dinilai dalam huraian syahadahtain adalah satu agen perubahan, namun bagaimana perubahan itu mampu dibentuk? Ingat setiap individu itu unik maka kita kena sering menganalisa mereka dan bermunajat kepada Allah agar cara itu mampu merubah mereka.

3. Takaful

Perasaan ingin tolong-menolong dan bantu-membantu di kalangan anggota atau saudara yang lain perlu ada. Setiap anggota perlu memberikan bantuan apabila saudara yang lain memerlukan bantuan moral dan material sama ada bersifat peribadi mahupun keluarga. Oleh itu, setiap anggota usrah hendaklah bersungguh-sungguh untuk memikul bebanan sesama sendiri. Dasar takaful ini merupakan tunjang iman dan intipati ukhuwah sejati. Mereka juga hendaklah bertanya khabar, ziarah-menziarahi dan tolong-menolong antara satu sama lain. Sekiranya ada saudara seperjuangan yang terlantar sakit atay mendapat kesusahan, mereka tidak harus diabaikan dan ditinggalkan tanpa berita.

Usrah yang Lesu

Seperti mana yang telah diterangkan tadi, usrah bukalah medan menuntut ilmu agama semata-mata. Ini kerana tanpa usrah pon, kita masih boleh belajar tentang ilmu agama. Namun apa yang lebih penting adalah perubahan dan kesan hasil daripada kehadiran individu itu ke majlis-majlis usrah. Usrah yang lesu ialah usrah yang mempunyai 5D dalam persekitaran usrah tersebut.

1. Datang

2. Duduk

3. Dengar

4. Diam

5. Doa Penutup

Jika kelima-lima elemen ini wujud, maka terhasillah satu usrah yang sama seperti majlis-majlis ilmu yang lain. 3 rukun usrah yang perlu disemai dan diterapkan tidak dapat di lihat. Dengan itu, berlakulah hubungan sekadar antara seorang guru dengan anak murid bukan hubungan seorang abang dengan adik atau bapa dengan anak yang mana terdapat kasih sayang dan kemesraan sesama mereka.

Selain dari kelesuan di dalam majlis usrah yang “bergerak” ini, terdapat jua nuqaba yang lesu sebelum berjuang. Atau dalam kata lain, usrah tidak bergerak dan berjalan. Dalam menilai keadaan di Segamat ini, saya teringat tentang munajat Rasulullah saw tika mana hendak menghadapi tentera musyrikin pada peperangan pertama mereka di Badar.

” Ya Allah! Sesungguhnya jika Engkau biarkan tentera (Islam) ini kalah, maka tidak ada yang menyembah Engkau di muka bumi ini. Ya Allah! Laksanakanlah janjiMu kepadaku. Ya Allah aku mengharapkan pertolonganMu.” itulah munajat baginda saw.

Nabi Muhammad saw merintih dan merayu pertolongan dari Allah swt. Sampai diriwayatkan rintihan dan munajat Nabi Muhammad ketika itu hinggakan ternampak lengan baginda. Bagaimana pula kesungguhan munajat dan pengharapan kita pada Allah?

arabic
Dan Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (tentera Islam) di Badar dalam keadaan kamu lemah, maka bertaqwalah kepada Allah semoga kamu bersyukur.(3:123)

Semoga kita yang lemah dan baru belajar bertatih ini di berikan pertolongan seperti mana kaum mukmin di Badar. Teruskan perjuangan ini, wahai saudaraku!

@srul

Sumber rujukan:

Ustaz Idris Ahmad, Panduan Usrah,  Sarjana Media, Kuala Lumpur.

Abdul Rahman Rukaini, Sirah Membentuk Generasi Pewaris Nabi, Synergymate Sdn Bhd,  Selangor.


Wasiat Hasan Al-Banna

March 27, 2008

Bismillahirrahmanirraheem..

Saudaraku, janganlah engkau putus asa. Kerana berputus asa bukanlah akhlak seorang muslim. Ketahuilah bahawa kenyataan hari ini adalah mimpi hari kemarin dan impian hari ini adalah kenyataan di hari esok. Waktu masih panjang dan hasrat akan terwujudnya kedamaian masih tertanam dalam jiwa masyarakat kita, meski fenomena-fenomena kerosakan dan kemaksiatan menghantui mereka. Yang lemah tidak akan lemah sepanjang hidupnya dan yang kuat tidak akan selamanya kuat.

 

Allah swt. berfirman:

“Dan Kami hendak memberi karunia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi), dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Fir’aun dan Haman serta tentaranya apa yang selalu mereka khuatirkan dari mereka itu.”

(Al-Qasas, 28:5-6)

 

 

Putaran waktu akan memperlihatkan kepada kita peristiwa-peristiwa yang mengejutkan dan memberikan peluang kepada kita untuk beramal. Dunia akan melihat bahawa dakwah kita adalah hidayah, kemenangan, dan kedamaian, yang dapat menyembuhkan umat dari rasa sakit yang tengah dideritanya. Setelah itu tibalah giliran kita untuk memimpin dunia, kerana bumi tetap akan berputar dan kejayaan itu akan kembali kepada kita. Hanya Allah sahaja harapan kita yang satu-satunya.

Bersiap dan beramallah, jangan menunggu datangnya esok hari, kerana bisa jadi engkau tidak bisa berbuat apa-apa di esok hari. Kita memang harus menunggu putaran waktu itu, tetapi kita tidak boleh berhenti. Kita harus terus berbuat dan terus melangkah, kerana kita memang tidak mengenal kata “berhenti” dalam berjihad.

 

Allah swt. berfirman:

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, sungguh akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami.”

(Al-Ankabut, 29:69)

Hanya Allah sahaja zat yang Maha Agung dan bagiNya segala puji.